Amy Mastura Fans

Full Version: UTUSAN MALAYSIA (2002 - 2007)
You're currently viewing a stripped down version of our content. View the full version with proper formatting.
Amy tolak tawaran Kak Chah

HUZZ terkejut bila mendapat tahu Amy Mastura (yang pernah mendapat anugerah Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia tahun 2000) menolak tawaran produser Habsah Hassan untuk berlakon dalam filem Soalnya Siapa. Kenapa tu? Pada Huzz watak yang nak diberikan oleh Kak Chah sesuai sangat untuk Amy.

Filem itu akan dilakonkan juga oleh Erra Fazira dan Afdlin Shauki.

Masa Huzz jumpa Amy di AIM2002, Amy mengatakan: ``Bukan Amy saja jual mahal. Bukan tak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat, sebenarnya Amy suka sangat berlakon dengan Erra dan Afdlin.

``Tapi Amy terpaksa menolak tawaran tu kerana pada masa filem tu nak mengadakan shooting Amy terikat dengan projek lain termasuk persediaan album terbaru. Jadi ada sebab kenapa Amy tak nak menerima tawarannya.

``Amy suka berikan tumpuan sepenuhnya kalau dah menerima sesuatu tawaran. Amy tak suka ambil beberapa kerja dalam satu masa takut tak terkejar. Insya-Allah lain kali Amy akan tunggu kalau-kalau ada tawaran Kak Chah lagi.''

Hmm Huzz dengar Amy dah menjadi rebutan untuk berlakon sekarang. Selain Kak Chah rupa-rupanya ada orang kat Astro dah menghalakan teropong kat Amy. Untuk jadi pelakon utama. Khabarnya bulan Oktober shootingnya. Filem cerita pontianak lagi you!

``Insya-Allah Amy akan menerima kalau watak dan tawaran itu sesuai,'' jawab Amy.

Kelas gitu dua artis popular dan sensasi Sony Music Malaysia iaitu Amy dan Erra hangat jadi rebutan pengarah filem dan iklan kebelakangan ni. Cayalah!

HUZZ: Wah meriah majlis hari lahir anak Amy minggu lalu. Ramai artis datang antaranya Ziana, Zarina, Vanida, Ahmad Idham dan Azhar Sulaiman yang bawa anak masing-masing.

Sumber : Utusan Malaysia Online (28/04/2002)
Tuah anak - Rezeki Ziana, Amy melimpah


PERMATA HATI... Kehadiran Adrriana nyata membawa rezeki kepada Amy terutama dalam kehidupan dan kerjayanya.
--------------------------------------------------------------------------------



Oleh Ruhaidini Abd Kadir dan Roslah Othman
SEBAGAI anak, barangkali ramai mungkin yang tidak mampu mengerti tangis derita seorang ibu - membawa kandungan sembilan bulan sepuluh hari, melahir dan membesarkan anak hingga dewasa. Namun setelah menjadi ibu, baik menyakitkan mahupun menyenangkan, segalanya mengharapkan si anak berguna apabila dewasa. Itulah falsafah dan pegangan luhur seorang insan bergelar ibu. Bagi artis popular Ziana Zain dan Amy Mastura, bakat seni yang dianugerahkan Ilahi masih belum mencapai kebanggaan dan kepuasan pada diri.

Walaupun pelbagai kejayaan diraih sepanjang penglibatan dalam bidang seni, bagi Ziana dan Amy, semua itu masih belum bererti. Hinggalah saat melahirkan anak sulung, ketika itu barulah dirasakan hidup mereka penuh bermakna.

Pada temu bual dengan Gaya Anggun baru-baru ini sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan pada 12 Mei, ternyata anak bagaikan permata berharga buat Ziana dan Amy.

Ziana Zain
``Saya pernah dibayangi keraguan apakah selepas menjadi isteri dan ibu, peminat masih boleh menerima saya seperti dahulu.

``Ternyata, kelahiran Muhammad Aiman telah meleraikan segala kebimbangan dan saya bersyukur kerana masih diterima seadanya,'' jelas Ziana, 34.

Penyanyi yang pernah hits dengan lagu Madah Berhelah ini membuktikan, pengaruh dan popularitinya tidak tergugat selepas menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun.

Tidak lama selepas berkahwin dengan lelaki pilihan, Armin Zaharin, penyanyi dan pelakon ini mendapat tawaran sebagai model syampu Head & Shoulder.

``Selepas melahirkan Aiman, saya menerima penghargaan untuk menjadi model jenama tilam Vono.

``Untuk iklan itu, saya beraksi dengan Aiman yang ketika itu baru berusia sembilan bulan,'' ujarnya bangga.

Ziana yang memperbaharui kontrak dengan Omega beberapa bulan yang lalu juga merupakan jurucakap untuk produk kesihatan B&H. Terbaru, dia dilamar sebagai `duta' produk penjagaan rambut Loreal.

``Alhamdulillah, rezeki saya kian bertambah selepas bergelar isteri dan ibu, malah saya benar-benar gembira dengan apa yang saya kecapi hari ini,'' ujarnya ikhlas.

Amy Mastura
Ditentukan Ilahi, kelahiran cahayamata tidak memalapkan populariti Amy Mastura. Bintangnya terus bersinar biar selepas kehadiran Adrriana Alvin yang kini mencecah usia setahun.

``Syukur kerana status isteri dan ibu tidak membataskan rezeki saya. Malah kehadiran Adrriana benar-benar membuktikan rezeki saya dalam bidang ini bertambah'' ujarnya ikhlas.

Menurut jejak Ziana, Amy juga dilamar sebagai `duta' Omega selepas bergelar ibu dan terbaru, dia dinobatkan sebagai bintang Lux.

Amy mengakui sejak bergelar ibu, seakan ada satu kekuatan luar biasa dalam dirinya.

``Saya semakin menjadi seorang yang lebih bersifat penyabar, penyayang dan tentunya seorang yang kuat bekerja,'' ujarnya tersenyum manis.

Malah kata Amy, itulah istimewanya menjadi seorang ibu,meskipun terpaksa melakukan segala-galanya seperti memasak, melayan suami, di samping memastikan kerjaya terus bergemerlapan. Namun beliau cukup berpuas hati semuanya adalah atas usaha gigihnya sendiri.

``Sebagai anak seni, saya tidak mahu dianggap kerjaya seperti ini menghalang untuk saya menjadi ibu terbaik kepada anak-anak, malah harapan saya begitu tinggi untuk melihat Adrriana menjadi insan berguna pada masa hadapan,'' akui Amy yang pernah meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Puteri Impian.

Sumber : Utusan Malaysia Online (11/05/2002)
Amy Mastura duta baru Lux
Oleh Jamliah Abdullah

KOMITMEN sebagai ibu dan isteri nyata membawa keuntungan besar kepada penyanyi genit Amy Mastura lantaran pemilihannya sebagai model produk terbaru mandian Lux.

``Sejak dulu lagi saya memang berharap untuk menjadi model sabun mandi ini. Bila saya terima tawaran ini saya ibaratkan mimpi telah menjadi kenyataan.

``Saya ingatkan bila sudah berkahwin dan ada anak, saya tidak laku lagi tetapi ada juga pihak yang sudi menawarkan saya jadi model,'' guraunya tentang tawaran baru itu.

Pengumuman tentang pelantikan Amy sebagai `duta' baru Lux dibuat di pusat hiburan Nuovu, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada majlis yang sama tayangan iklan baru Lux yang menampilkan Amy sebagai watak utama dipertontonkan.

Serentak dengan majlis pelantikan tersebut, Lux turut melancarkan produk sabun mandi terbaru yang dinamakan Lux Skincare.

Apa yang lebih menarik ialah untuk iklan tersebut Amy berpeluang berganding bersama anak perempuannya Adriana yang berusia setahun.

Iklan tersebut cukup istimewa kerana ia berlatarkan lagu ciptaan Amy iaitu Kasih Suci. Lagu tersebut dicipta khas oleh Amy untuk anak kesayangannya itu.

Iklan bagi produk sabun mandi Lux Skincare kini sudah ke udara di TV.

Sememangnya menjadi satu tradisi untuk Lux menampilkan bintang-bintang terkenal tanah air sebagai model produk mereka.

Artis-artis seperti Sharifah Aini, Sheila Majid, Erra Fazira dan Joanna Bessey adalah antara mereka yang pernah mewarnai iklan Lux.

Namun bintang Lux kali ini membawa imej yang berbeza. Bersesuaian dengan produk terbaru Lux, bintang Lux Amy Mastura mewakili wanita moden yang berkeyakinan, elegan, berjaya dan berkeluarga.

Untuk kontrak selama dua tahun itu, Amy menjanjikan harapan baru.

``Lux baru membawa kelainan kerana apa yang ingin ditampilkan bukan semata-mata kecantikan. Lux Skincare baru bukan sekadar sabun mandi tetapi ia juga produk penjagaan kulit.

``Lux Skincare seperti juga wanita hari ini. Mereka bukan saja berkerjaya tetapi pada masa yang sama mempunyai komitmen untuk keluarga. Ia adalah cabaran untuk wanita,'' kata Amy dalam kenyataan pertamanya sebagai duta baru Lux.

Secara peribadi, Amy sendiri mengakui bahawa dia cukup berbangga dengan kemampuannya menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga.

``Tidak ada rahsia kerana apa yang penting saya kini mempunyai dua tanggungjawab, dan komitmen saya ialah menumpukan perhatian kepada kedua-duanya,'' jelas Amy.

Sebagai bintang baru Lux, kata Amy, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membawa imej yang baik dan bersesuaian. Namun, katanya, itu cukup mudah.

``Bagi saya imej yang Lux perlukan itu ada pada saya iaitu saya berkerjaya dan berkeluarga. Jadi tidak perlu saya melakukan banyak perubahan,'' katanya.

Menurut Pengerusi Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd., Danny Ng, pemilihan Amy sebagai bintang baru Lux adalah bersesuaian dengan imej penyanyi yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Apa pun bagi Amy yang menyambut hari lahirnya yang ke-31 pada 10 Mei lalu iaitu pada hari pelantikannya sebagai bintang Lux, peralihan karier itu adalah permulaan baru terutama sejak bergelar ibu.

Setelah berkahwin lebih tiga tahun yang lepas, Amy memperlahankan langkahnya dalam bidang seni. Namun memandangkan album terbarunya akan terbit tidak lama lagi, Amy akan kembali ligat di persada seni.

Langkah tersebut mungkin tidak sukar bagi Amy yang memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri. Kehadiran Amy sentiasa dinanti-nantikan apatah lagi apabila dia sedia membawa lebih banyak perubahan.

Sumber : Utusan Malaysia Online (19/05/2002)
Amy Mastura ...gementar tunggu album baru

Oleh Khadijah Ibrahim
Penyanyi Amy Mastura yang juga model Lux sekarang ini berdebar-debar menunggu kelahiran album kelima yang bakal berada di pasaran pada akhir bulan ini.

Beliau gementar kerana album yang menampilkan konsep pop itu turut memuatkan lagu ciptaannya sendiri iaitu Kasih Suci yang menjadi tema untuk iklan tersebut.

Amy berharap, percubaannya dalam bidang penciptaan lagu akan memberikan hasil yang positif setelah memperlihatkan menerusi Kasih Suci.

Kata Amy, lagu tersebut dicipta khas untuk anaknya, Adriana yang turut muncul dalam iklan tersebut. Lagu tersebut telah dicipta sebelum beliau mendapat tawaran untuk berlakon iklan itu.

``Semuanya secara kebetulan. Apabila agensi iklan itu mahukan lagu tema dan saya ada lagu yang sesuai. Mereka setuju untuk ambil lagu ciptaan saya itu,'' kata Amy.

Beliau menjelaskan, lagu tersebut juga akan dimuatkan dalam album terbarunya yang berjudul Akan Datang.

Antara komposer yang terbabit dalam album ini ialah Iman Wan, Azlan Abu Hassan, Zul Mahat dan Sham Kamikaze.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Kembara Cinta, Asimilasi, Dulu Kini Selamanya, Keranamu, Satu Dalam Sejuta, Kelip-Kelip dan Hati Berlagu.

Amy menegaskan, sebaik sahaja album berada di pasaran, beliau akan mula menumpukan perhatian kepada promosi di seluruh negara.

Amy yang semakin banyak tawaran sejak mendapat cahaya mata itu sering diundang mengadakan persembahan makan malam di hujung minggu.

``Undangan untuk saya mengadakan persembahan tidak pernah putus sejak saya belum berumah tangga sehingga sekarang,'' tambah Amy.

Walaupun sibuk dengan nyanyian, pelakon kecil itu tetap tidak pernah mengabaikan bidang lakonan. Amy yang mula diperkenalkan menerusi filem Puteri Impian arahan Aziz M. Osman sekali lagi mendapat kepercayaan pengarah itu untuk filemnya yang akan datang.

Filem-filem lain lakonan Amy ialah Puteri Impian II dan Tragedi Oktober.

Kata Amy, setelah selesai melakukan promosi untuk album Akan Datang, beliau bakal menumpukan perhatian pada filem arahan Aziz yang dijangka menjalani penggambaran pada Oktober depan.

Beliau yang mendapat pujian kerana watak Markonah dalam drama Toll Gate Girl yang disiarkan di ntv7 pada hari raya lalu dijangka akan menjalani penggambaran sambungan drama tersebut.

``Sekarang ini masih lagi dalam perbincangan. Sekiranya semua yang dirancang menjadi kenyataan penggambaran akan dilakukan dalam bulan puasa sebab drama itu dijangka ditayangkan pada hari raya,'' jelasnya yang mendapat banyak tawaran berlakon drama selepas Toll Gate Girl.

Bagaimanapun Amy terpaksa menolak kerana ingin menumpukan tumpuan pada rakaman album akan datang.

Kata Amy, kalau terlalu banyak berlakon beliau bimbang tidak berpeluang muncul dengan album baru.

Namun sekarang ini beliau perlu mengatur jadual kerana nyanyian dan lakonan merupakan bidang yang amat diminatinya.

Sumber : Utusan Malaysia Online (10/06/2002)
Tumbuh misai antara kesan sampingan

PELBAGAI usaha dilakukan oleh Hamidah (bukan nama sebenar) untuk menyingkirkan igauan ngerinya - kegemukan!

Bersenam, berdiet, berpuasa dan macam-macam lagi pernah dilakukan. Pun begitu, segala usaha yang dilakukan gagal mengurangkan berat badannya.

Dahulu berat badan Hamidah 50 kilogram, kini 90 kilogram dan semakin meningkat hari demi hari. Hati gundah, teman menyindir dan Hamidah yang memiliki ketinggian 160 cm terus menjadi usikan kawan-kawan.

Jolokan Mok, Cik Bun (tembun), montel dan macam-macam lagi diterima dengan senyuman lara. Lebih menghiris perasaan, suami turut memandang sinis pada Hamidah dan mendesak si isteri menguruskan badan sambil memberi amaran untuk mencari `pengganti'.

Akhirnya, Hamidah mengambil jalan pintas, mencuba pil langsing demi pil langsing yang ada di pasaran tanpa memikirkan soal kesan sampingan.

Kisah Hamidah antara pelbagai cerita isteri terutama wanita yang berani melakukan `pengorbanan' demi mendapatkan susuk tubuh idaman.

Menurut personaliti terkenal, Maria Tunku Sabri, 31, beliau sendiri pernah mengamalkan beberapa jenis pil langsing kerana prihatin soal penampilan diri.

``Asal berat badan saya cuma 45 kilogram tetapi waktu mengandungkan anak pertama berat badan meningkat sehingga mencecah lebih 65 kilogram,'' katanya yang melahirkan cahayamata pada Jun 1998.

Untuk mendapatkan berat badan asal dalam masa yang singkat, Maria bersungguh-sungguh mengamalkan beberapa jenis pil langsing yang dijual di pasaran.

``Saya pernah mengambil tiga atau empat jenis pil langsing selama lebih enam bulan. Memang badan saya susut tetapi saya terpaksa berhenti kerana banyak kesan sampingan,'' akuinya jujur.

Antara kesan sampingan yang ditanggung Maria selama tempoh pengambilan pil berkenaan ialah tidak boleh tidur malam dan tidak ada selera makan.

``Setiap malam saya tidak boleh tidur, hingga pukul tiga atau empat pagi, mata masih segar dan celik.

``Bukan itu sahaja, seharian tidak menjamah makanan, perut langsung tidak berasa lapar tetapi pada masa yang sama amat bertenaga,'' jelasnya.

Lebih merunsingkan, wajah Maria yang asalnya licin dan tidak bermasalah penuh ditumbuhi jerawat dan bulu-bulu halus seperti misai.

Gusar melihat perubahan itu, Maria mendapatkan nasihat pakar dan ujian darah yang dijalani menunjukkan hormonnya tidak seimbang.

Ekoran daripada itu, Maria berhenti mengambil pil langsing serta-merta dan kemudiannya mengamalkan cara yang benar-benar selamat.

``Bersenam adalah cara paling selamat untuk mengurangkan berat badan. Meskipun ia mengambil masa lama untuk melihat hasilnya tetapi kesannya berkekalan,'' katanya.

Ujar pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan ini, beliau masih mengambil makanan tiga kali sehari tetapi mengurangkan karbohidrat.

``Saya ambil lebih sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan berasaskan protein,'' katanya yang kini berjaya mengurangkan lebih 10 kilogram berat badannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fedora Universal, Judah Gujang mengakui, perubahan arus dunia kecantikan mempengaruhi pemikiran kebanyakan wanita hari ini mengenai persepsi bentuk badan.

``Tanggapan tubuh badan sangat gemuk dan buruk, mendorong sebahagian daripada wanita mengambil jalan mudah untuk menguruskan badan,'' akuinya jujur.

Judah, mengakui, beliau pernah mencuba sejenis pil langsing selama beberapa bulan ekoran berat badan naik mendadak.

Kata wanita berusia akhir 20an ini, beliau memilih pil buatan luar negara itu kerana terpengaruh dengan iklan dan diet yang dianjurkan.

``Selepas beberapa hari mengamalkannya, saya dapat rasakan perubahan ketara pada diri antaranya tidak berselera langsung untuk makan,'' katanya.

Dalam tempoh seminggu mengamalkannya, Judah berkata, beliau terpaksa menanggung `derita' akibat muntah setiap kali menjamah makanan.

``Bayangkan, perut tidak pernah berasa lapar tetapi saya perlu paksa diri untuk makan dan setiap kali itulah saya akan muntah,'' katanya.

Paling aneh, Judah mendakwa, beliau turut mengalami tekanan perasaan dan tidak berupaya mengatasi sesuatu masalah sepanjang mengambil pil itu.

Menerangkan mengenai kesan lain yang dialaminya, Judah berkata, sepanjang mengambil pil diet itu dua kali sehari, degupan jantungnya tidak tetap. Malah, beliau turut mengalami rambut gugur, pertumbuhan bulu di muka dan otot semakin mengecut walaupun berat badan turun.

``Memikirkan semua kesan sampingan itu, saya mengambil keputusan berhenti mengamalkan pil diet berkenaan dan kembali kepada cara yang selamat,'' katanya.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon Amy Mastura berkata, perubahan dari segi bentuk badan memang menimbulkan dilema kepada wanita.

Kata Amy, kebanyakan wanita inginkan tubuh kurus sealiran dengan fesyen terkini dan itulah yang pernah mendorongnya mengamalkan pil langsing beberapa tahun yang lalu.

Kata Amy, waktu itu beliau belum berkahwin dan kecenderungannya mengambil pil langsing dipengaruhi rakan-rakan.

``Percaya atau tidak, saya hanya mencubanya sehari sahaja. Saya betul-betul serik kerana sepanjang hari itu saya mengalami cirit-birit,'' katanya.

Menurut Amy, sakit perut yang ditanggungnya bukan kepalang dan itulah yang membuatkannya tidak mahu lagi mengambil pil berkenaan.

``Sekarang ini baru saya ingat, sakit yang ditanggung dulu sama seperti sakit mahu melahirkan anak,'' ujarnya jujur.

Sumber : Utusan Malaysia Online (11/06/2002)
Kasih suci Amy Mastura
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

BIAR sudah punya seorang anak, artis popular, Amy Mastura nampaknya terus menjadi buruan banyak pihak. Media massa tidak putus-putus mahu merakamkan fotonya bersama puteri sulungnya, Adriana yang berusia 14 bulan.

Syarikat-syarikat pengeluar produk berjenama antarabangsa juga khabarnya terlalu banyak yang melamar penghibur bertubuh kecil molek ini untuk menjadi jurucakap mereka.

Pendek kata, rezeki Amy, 31, selepas melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya dengan Alvin Tham Suffian semakin murah.

Pun begitu, keadaan ini tidak pernah menjadikan dia bongkak, menyombong diri mahupun berlagak dengan ego yang besar.

Apa yang pasti Amy masih seperti dahulu. Ramahnya masih tidak ubah seperti zaman anak dara.

Penyakit melatah masih tidak mampu diubatinya dan apabila diajak bergelak ketawa, Amy masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

``Mengapa harus saya berubah. Bukankah lebih baik andai kata saya terus menjadi diri saya, itu lebih bahagia,'' ringkas jawab Amy pada satu pertemuan dengannya.

Petang itu, dia tidak ditemani Adriana kerana kata Amy, suaminya bersedia memberikan khidmat menjaga cahaya mata mereka.

Semenjak dua minggu yang lalu, Amy berkata tugas dan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu menjadi semakin ringan kerana dia sudah mendapatkan khidmat pembantu rumah.

``Bukan mengeluh, cuma saya mempunyai lebih masa untuk karier dan rumah tangga.

``Dahulu terkejar sana terkejar sini, sekarang tidak lagi,'' cerita Amy.

Sambil menghirup teh o pada pertemuan itu, Amy cuba menjadi wanita yang serius dan berbicara mengenai perkembangan terbarunya.

Sesekali Nana, pengurus peribadinya serta Sam, Pengurus Perhubungan Awam Sony Music mencelah dan bercerita penuh galak mengenai album terbaru Amy yang berjudul Akan Datang.

Seperti yang disebut di atas, pada pertemuan itu, Amy cuba untuk menjadi lebih serius, malangnya sikap happy-go-lucky dirinya yang lebih menyerlah.

``Tajuk album itu menjawab pertanyaan peminat-peminat saya bila album baru akan menyusul,'' kata Amy sambil ketawa kecil.

Sebetulnya Amy memberitahu, dia sendiri sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dengan peminat-peminatnya dan memberitahu mereka albumnya akan diedarkan pada 24 Jun ini.

``Banyak lagu sedap,'' sempat pula Nana mengingatkan saya.

Apakah album ini lebih bersifat personal touch bagi Amy?

``Tidak juga. Cuma pengisian lagu menampakkan saya lebih matang berbanding kemunculan saya sebelum ini.

``Pada masa yang sama, cita rasa pendengar turut diambil kira,'' jelas Amy lagi.

Lebih mengharukan Amy juga, dia mempunyai hadiah khas iaitu sebuah lagu berjudul Kasih Suci yang ditulisnya khusus untuk puteri comelnya itu.

``Itu hadiah istimewa untuk Adriana,'' ujar Amy lagi.

Pada masa yang sama, Amy turut mendapat sokongan daripada jenama dandanan diri Lux dan jenama jam terkemuka dunia, Omega di mana Amy merupakan jurucakap bagi kedua-dua jenama itu untuk album terbarunya.

Kedua-dua syarikat itu memberikan komitmen dalam beberapa bentuk tajaan.

Menyentuh mengenai kemunculan terbarunya, Amy berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran atau menjangkakan sesuatu yang luar biasa akan berlaku.

``Cuma saya harapkan sokongan peminat tidak berubah.

``Dua tahun saya memberi tumpuan kepada keluarga dan kini saya rasa masa terbaik untuk dikongsi pula dengan peminat. saya sendiri tidak mampu untuk membendung kerinduan itu,'' terang artis kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.

Album Akan Datang kata Amy bakal diedarkan oleh Sony Music (M) Sdn. Bhd. Ia diterbitkan secara kerjasama oleh penerbit-penerbit ternama seperti Azlan Abu Hassan, Zul Mahat, Iman Wan dan Sham Kamikaze.

Tidak seperti kebiasaan di mana Amy sebelum ini begitu setia dengan penerbit Goh Boon Hoe, malangnya, `jodoh' Amy dengan Goh sudah tidak berpanjangan lagi dan kerjasama itu juga tidak dieratkan lagi untuk album kali ini.

Sebelum sempat soalan diajukan, Amy pantas memberitahu, dia dan Goh tidak pernah bergaduh atau bermasam muka.

``Cuma Goh sibuk dan kebetulan dia berada di luar negara dan tidak memungkinkan kami bekerjasama,'' kata Amy lagi.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya pula, jurucakap bagi jenama dandanan diri Lux ini turut memberitahu, sebagai wanita, dia cuba untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang baik.

``Saya tahu menjadi isteri, ibu dan artis pada satu masa bukan satu kerja yang mudah, tetapi saya berjanji tumpuan akan saya beri sama rata mengikut kepentingan,'' ikrar wanita yang tidak pernah mencetus sebarang kontroversi sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Sumber : Utusan Malaysia Online (16/06/2002)
Artis ...jayakan kempen membaca
Oleh ROSLI MANAH

Pengaruh daripada populariti golongan artis sekali lagi diakui apabila beberapa nama besar terpilih menjayakan Kempen Membaca Kebangsaan 2002 yang dilancarkan hari ini.

Majlis pelancaran itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Beberapa jalan sekitar ibu negara dihiasi sepanduk kempen membawa tersebut dengan menampilkan artis tanah air bersama buku bacaan masing-masing.

Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Sarimah, Afdlin Shauki, Fazley, Amy Mastura, Jeslina Hashim, Nazrey Raihan, Chef Wan, Maya Karin dan Rama terpilih untuk kempen itu.

Selain penyanyi, pelakon dan pengacara, jaguh skuasy negara Nicol Ann David dan pemain badminton Wong Choon Han juga membantu kempen itu.

Mereka dipilih untuk mewakili peminat segenap lapisan masyarakat kerana seruan membanyakkan membaca dibuat kepada semua orang.

Perpustakaan Negara telah menerbitkan klip video Membaca Gaya Wawasan sebagai lagu tema kempen tersebut.

Rakaman lagu dan penerbitan klip video tersebut adalah membabitkan artis secara suka rela.

``Penglibatan artis sebagai idola remaja adalah selaras dengan matlamat dan sasaran penonton kempen ini,'' kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Zawiyah Baba.

Menurutnya, tumpuan kempen kali ini ialah remaja berusia 15 hingga 30 tahun dan pemilihan artis terkenal dianggap tepat dalam menanamkan tabiat suka membaca sebagai satu amalan dan gaya hidup terkini.

``Saya harap lagu tersebut yang mudah dihayati akan menjadi lagu popular dan menjadi ikutan supaya seruan untuk membaca sebati dengan remaja,'' katanya lagi.

Klip video lagu tersebut akan disiarkan di televisyen tempatan tidak lama lagi.

``Bagi pihak Perpustakaan Negara saya mengucapkan terima kasih kepada artis yang sudi menyumbangkan khidmat mereka dengan mengenepikan pertimbangan komersial dalam menjayakan projek nasional ini,'' katanya lagi.

Penglibatan artis membuktikan komitmen dan prihatin serta rasa bertanggung jawab terhadap kepentingan negara.

Sumber : Utusan Malaysia Online (08/07/2002)
Reference URL's