Amy Mastura Fans

Full Version: Amy Kalis Kontroversi
You're currently viewing a stripped down version of our content. View the full version with proper formatting.
Amy kalis kontroversi
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Bertahan dalam dunia seni azam sambut ulang tahun ke-37 hari ini

MERENUNG laluan panjang artis bertubuh kecil molek, Amy Mastura sebagai insan seni umpama menyelak helaian kertas putih yang polos tanpa dipalit noda hitam.

Selama 15 tahun, merentasi naik turun dalam dunia yang penuh cabaran, ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini masih mampu bertahan tanpa sebarang catatan hitam dalam perjalanan kariernya.

Amy bebas daripada gosip liar dan kontroversi, meletakkan dirinya dalam kelas yang cukup istimewa kerana tidak perlu berdepan mata yang sangsi dengan setiap hayunan langkahnya.

Ditanya mengenai perjalanan kariernya yang kalis kontroversi, Amy berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana selama bergelar anak seni dia cuba menjadi dirinya sendiri.

Menjalani kehidupan seadanya, penuh sederhana dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Tuhan kepadanya menjadi resipi pelakon berusia 37 tahun ini untuk terus bertahan.

“Jujurnya saya tidak pernah merancang atau bermimpi untuk bertahan selama ini,” kata Amy, mengakui masa terlalu pantas berlalu tanpa menyedari sudah 15 tahun dia menggalas peranan sebagai artis.

Menyifatkan apa yang diterimanya ini adalah rezeki Tuhan yang perlu sentiasa disyukuri, Amy berkata dia menempuh hari mendatang dengan melihat peluang yang datang secara terbuka.

Pinta Amy yang menyambut ulang tahun ke-37 hari ini, jalan untuk terus mara sentiasa terbentang kerana skop seni itu luas. Sekali pun ketika ini, keutamaannya sudah terbahagi dua antara karier dan keluarga.

“Kedua-duanya bergerak seiring. Jika tiada urusan karier, saya akan tumpukan perhatian kepada keluarga dan begitu juga sebaliknya.

“Saya tidak pernah bercadang untuk meninggalkan bidang ini kerana sudah ditentukan rezeki saya sebagai anak seni,” kata Amy yang mengukir laluan apabila menjuarai Asia Bagus 1993.

Melalui proses turun naik sebagai anak seni, juga pernah merasai detik gemilang berada di puncak, Amy sentiasa mengingatkan dirinya supaya bersedia menerima apa saja situasi.

Malah katanya, ketika populariti sedang memuncak dulu, dia sentiasa beringat dengan mempelbagaikan kebolehan dan menabung.

“Dengan mempelbagaikan aktiviti seni seperti berlakon dan mengacara, apabila pasaran album kurang memberangsangkan keadaan itu tidak terasa sangat.

“Kesibukan masih tetap sama. Jika tidak menjayakan persembahan atau ke lokasi penggambaran, masa tidak terbuang kerana saya akan habiskan dengan anak-anak.

“Keadaan itu membuatkan masa saya sentiasa terisi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan,” katanya.

Akui Amy, dia selesa bersederhana dan tidak terlalu tinggi menuju ke puncak kerana bimbang tidak mampu mengawal populariti.

Sedari dulu, dia tidak meletakkan cita-cita terlalu tinggi. Impiannya hanya mahu menjadi penyanyi latar, malah kalau merakamkan album pun cukup sekadar sebuah album sebagai kenang-kenangan.

“Saya cuma teringin mendengar nyanyian sendiri tetapi tidak sangka Tuhan memberikan lebih daripada itu.

“Disebabkan itu, saya mahu terus menyanyi kerana jiwa terasa kosong kalau minat yang satu ini tidak dipenuhi,” katanya.

Tidak terburu terbit album

AMY tidak pernah terkilan jika albumnya mengambil masa terlalu lama untuk diterima umum.

Seperti album terbarunya, Lebih Baik, lagu yang dipertaruhkan perlahan-lahan diterima malah beberapa lagu daripada produksi itu mendapat putaran meluas di radio seperti Bukakanlah Pintu, Kasihku Sinar, Kata Mama dan Cinta.

“Ada sesetengah penyanyi selesa menghasilkan satu album setahun, tetapi saya tidak mahu terburu-buru. Biarlah mengambil masa kerana kalau terlalu cepat bimbang tak sempat dipromosikan dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, kata Amy, dia tidak mahu terlalu jauh menjarakkan penerbitan album seterusnya dan selepas tiga tahun tidak merakamkan lagu, Julai ini dia akan tampil dengan produksi baru.

Apa yang mengujakan penyanyi yang tidak dimamah usia ini, album itu juga membawanya kembali bekerjasama dengan Goh Boon Hoe, penerbit yang pernah menaikkan namanya ketika menghasilkan album Pujaanku, tidak lama dulu.

Kali terakhir, kerjasama itu berlaku dalam album Bintang Hati yang diterbitkan hampir lapan tahun lalu.

“Sudah lama saya teringin untuk bekerja dengannya tetapi jarang menjadi kenyataan kerana jadual kami selalu bercanggah.

“Alhamdulillah, impian itu menjadi kenyataan dan berulang alik ke Jakarta untuk rakaman album terbaru memberikan pengalaman berbeza kerana dia menetap di sana,” katanya.

Ketika ini enam lagu sudah dirakamkan dan tiga daripadanya adalah sentuhan Amy sendiri. Apa yang membuatkan Amy berpuas hati, dia mendapat kerjasama yang cukup baik daripada syarikat rakamannya, Sony BMG Music Entertainment yang positif membantunya untuk terus memacu nama dalam industri.

Lebih memberikan makna apabila Amy turut menghasilkan sebuah lagu yang mengajak generasi muda menghargai erti sebuah kemerdekaan.

Disampaikan dengan lirik ringkas dan berirama rancak, Amy berharap penghasilan lagu seperti itu akan menambah koleksi ciptaan berbentuk patriotik dalam khazanah muzik tempatan.

Akur kelahiran bintang realiti serta penyanyi baru yang mempunyai kekuatan vokal memberi persaingan lebih sengit, ditambah dengan suasana suram industri muzik, Amy bagaimanapun, tidak gentar mencuba.

Semangat untuk berjuang masih menebal dalam dirinya dan kata Amy, dia tidak akan mengalah selagi mendapat kepercayaan peminat.

Amy juga akan muncul dalam drama bersiri, Detektif Cinta untuk siaran baru Astro yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Amy juga menjayakan penggambaran telemovie, My Husband arahan Fairuz Loy untuk siaran ntv7 di samping Norman Hakim, Julia Ziegler dan Jehan Miskin.

“Syukur kerana bidang lakonan turut membuka ruang untuk saya kembangkan bakat dalam industri. Jun ini saya akan kembali ke lokasi untuk penggambaran sebuah lagi filem, Hoppers.

“Masih terlalu awal untuk berbicara mengenainya, namun kepercayaan yang diberikan membuatkan saya bersyukur kerana Amy Mastura masih mendapat tempat di hati penerbit,” katanya.

Info:

Nama: Amy Mastura Suhaimi

Tarikh Lahir: 10 Mei 1971

Keluarga: Anak bongsu dua beradik.

Diijab kabulkan dengan Alvin Tham Sufian pada 30 Jun 2000 di kediaman keluarganya di Ipoh, Perak dan

bersanding di Dewan Bandaraya Ipoh pada 1 Julai 2000.

Mempunyai dua cahaya mata Adriana, 7 dan Adalia, 3.

Bertugas sebagai pramugari di MAS selama lima tahun.

Menjuarai pertandingan Asia Bagus yang ketiga pada 1993 di Jepun. Pernah mewakili Malaysia dalam Asian Pop Queen Festival 1994 di Jepun.

Kejayaan:

Meraih anugerah Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 1995

Pernah berduet dengan Tommy Page di dalam lagu The Best Part.

Bekas VJ MTV Syok

Pernah menjadi model Shiseido Pureness, Aiwa, Adidas, Omega, Axion Spring Fresh dan Lux.

Merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM14 pada 1999

Pernah berduet dengan Glenn untuk lagu Dengarkanlah.

Memenangi kategori Pop Rock untuk lagu Bintang Hati dalam Juara Lagu 2000.

Album:

Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Puteri Impian II (1998), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002) dan Lebih Baik (2005).

Lakonan:

Kuala Lumpur Universiti (1995), Impian (1996), Tragedi Oktober (1997), Puteri Impian (1997), Puteri Impian 2 (1998), Senario The Movie (2000), Siti Di Alam Fantasi (2000), Toll Gate Girl (2001), Spanar Jaya Gong Xi (2002), Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Cinta 3 Musim (2004), Jo Om Balik Raya (2006) dan Cinta Q (2006).

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 10 MEI 2008
Reference URL's